SEJARAH BANDAR BARU BERIS JAYA

Secara ringkasnya, sejarah penubuhan Bandar Baru Beris Jaya berikutan peristiwa pembinaan Empangan Beris yang terletak kira-kira 24km dari pekan Sik dan 90km dari Alor Star. Pembinaan empangan ini dalam masa yang sama telah mewujudkan sebuah tasik buatan manusia iaitu Tasik Beris.

Penduduk BBBJ berasal dari beberapa buah kampung di Sik iaitu Kampung Batu Seketul, Kampung Sungai Batang, Kampung Ternas, Kampung Kuala Sungai Batang dan Kampung Charok Tualang.  Malah ketika Empangan Beris kira-kira 1000 kubur dipindahkan ke kawasan perkuburan baru.

Pihak kerajaan telah bersetuju menjadikan BBBJ sebagai penempatan baru kepada penduduk yang tinggal di kawasan yang terjejas akibat pembinaan empangan tersebut. Kira-Kira 600 buah rumah telah didirikan disini. Nama BBBJ diambil sempena nama Tasik Beris dan Empangan Beris.

Penempatan BBBJ dibuka pada tahun 2002. Kini setelah beberapa tahun pembangunan semakin dapat dirasai oleh penduduk dikawasan ini. Sebagai sebuah bandar terancang segala kemudahan lengkap dikawasan ini.

* maklumat diambil dari Perpustakaan Bandar baru Beris Jaya

Sejarah

Sewaktu Kampung Sungai Batang masih wujud, kegiatan harian penduduknya ialah sebagai petani seperti menjadi pesawah, penoreh getah.

Terdapat dua batang sungai yang bersambung di Kampung Kuala dan sungai ini akan bersambung ke Sungai Muda. Sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Kuala dan Sungai Batang. Air yang datang dari hulu Sungai Batang begitu banyak yang memberikan potensi untuk diwujudkan Tasik Beris.

Ketika Tasik Beris dalam proses pembinaan lebih seribu kubur telah dipindahkan pada tahun 2002. Kampung yang telibat ialah Kampung Batu Seketol, Kampung Sungai Batang (Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar), Kampung Ternas dan Kampung Telaga Batu. Penduduk-penduduk kampung tersebut sekarang ditempatkan di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) kira-kira 10 kilometer dari Pekan Sik dan 5 kilometer dari Pekan Jeniang

Penduduk-penduduk kampung menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Sungai Batang untuk mendapatkan pendidikan awal. Tapak sekolah asal telah ditenggelami air empangan Beris. Sekolah tersebut telah ditukarkan nama kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya terletak berhampiran dengan penempatan penduduk-penduduk kampung di Bandar Baru Beris Jaya.

-Sehingga sekarang masih juga terdapat sisa-sisa tinggalan daripada perumahan yang tenggelam di dasar air jelas kelihatan kayu-kayu atau tiang rumah yang telah tenggelam-

 

SEJARAH ASAL USUL NAMA 'SIK'

Sik berasal daripada perkataan Arab iaitu "Syed" atau "Sheikh" dan jika disebut dalam loghat Pattani (selatan Thai), ia berbunyi "Sik" iaitu sebutan antara bunyi Sik dan Saik. Mubaligh-mubaligh Arablah yang membuka penempatan ini. Mereka berhenti dan singgah dengan perahu di Lubuk Tok Keramat, Sg Chepir, berdekatan dengan stesen minyak Petron sekarang di pekan Sik. Mereka telah mendirikan perkhemahan di sebuah padang yang dikenali sebagai Padang Tok Sheikh. Tapak ini kemudian berkembang menjadi sebuah penempatan dan pondok yang pertama di daerah Sik dan mungkin yang pertama di negeri Kedah Darul Aman. Padang Tok Sheikh sekarang ini terletak berhampiran dengan Masjid Pekan Sik dan sekarang ini dibangunkan sebagai Kompleks Pejabat Agama Daerah Sik, Kedah.